Terlebih dahulu kami memanjatkan Syukur kepada Allah di atas perjuangan pemimpin-pemimpin lama kita kerana kini kita telahpun Merdeka. Kami juga berterima kasih kepada Bekas Menteri Besar Johor yang lalu iaitu Y.B. Tan Sri Haji Othman bin Saat yang telah mengurniakan sebuah Masjid kepada Kulai pada tahun 70an di era pentadbiran beliau.

Tanpa keprihatinan beliau, mungkin Bandar Kulai hanya ada sebuah surau yang kekal berdindingkan papan dan berbumbungkan zing dengan anggaran keluasan 10’ x 20’ yang telah dibina dalam tahun 50’an. Tapak tanah tersebut adalah sumbangan dan jasa baik dari seorang insan berbangsa Cina yang prihatin pada kekurangan dan kedaifan orang Melayu lalu menyerahkan tanah milik beliau kepada orang Melayu yang tinggal di Kampong Melayu untuk dijadikan tempat beribadat orang Melayu. Allahyarham Othman bin Rampak merupakan Imam yang pertama di pekan kecil Kulai. Pada tahun 50’an juga, Penghulu Mukim Senai Kulai Allahyarham Abdul Abu telah berusaha bertungkus lumus untuk mendapatkan kebenaran menunaikan Solat Jumaat.

Sekolah Agama yang pertama dibuka pada tahun era 50’an, ia termasuk Sekolah Agama dan kelas Agama Dewasa. Tuan Haji Ibrahim bin Ramli merupakan Guru Besar yang pertama di Sekolah Agama tersebut dan atas permintaan penduduk tempatan, pada tahun 1957 beliau dilantik menjadi Imam yang kedua di pekan Kulai.

Daripada surau kemudian dinaikkan taraf menjadi masjid dan dibesarkan sedikit demi sedikit menjadi keluasannya 20’ x 30’. Lokasi masjid itu terletak bersebelahan Balai Polis Kulai serta di kelilingi dengan rumah kakitangan pekerja dan belukar. Pada masa itu Bandar Kulai jauh ketinggalan jika di banding dengan bandar-bandar lain. Kawasan ini yang kerap banjir jika hujan lebat agak menyukarkan para Jemaah untuk datang bersolat.

Masyarakat Islam amnya dan Melayu khasnya tinggal di sekitar kampong yang diberi nama Kampong Melayu. Kawasan-kawasan lain masih lagi menjadi estate-estate/ladang-ladang getah, lada hitam, kelapa sawit dan kebun-kebun sayur. Ketika itu hanya terdapat sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah.

Di zaman Allahyarham YAB Tuan Abdul Razak bin Hussin sebagai Perdana Menteri, banyak kawasan hutan belukar telah berubah menjadi kawasan penempatan orang Melayu kerana pembangunan. Kawasan tersebut dipanggil Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan yang kini lebih dikenali dengan nama FELDA. Bermula pembukaan kawasan Felda dan penempatan orang-orang Melayu di situ, pekan kecil Kulai yang dulu sunyi mula membesar sedikit demi sedikit dan seterusnya menjadi Bandar Kulai di bawah pengendalian Majlis Daerah Kecil Kulai. Kerajaan Negeri Johor dibawah kepimpinan YB Tan Sri Haji Osman Bin Saat, telah mengeluarkan peruntukan pembinaan Masjid Baru di tapak yang lain di mana lokasinya berhampiran dengan kawasan perumahan orang Melayu.

Pada tahun 1970, kerajaan telah menyalurkan sumbangan berupa peruntukan pembinaan Masjid. Dengan adanya Masjid yang baru, diharap ianya dapat menampung dan memberikan keselesaan kepada para jemaah sesuai dengan keadaan semasa. Masjid baru telah dibina di pinggir bukit. Berukuran lebih kurang 32’ x 52’ ia dapat menampung sehingga 200 orang Jemaah.

Perubahan masa dan keadaan berlaku, penduduk Islam semakin meningkat apabila kebun-kebun getah bertukar menjadi taman-taman perumahan dan belukar-belukar menjadi rumah persendirian. Pembesaran pertama terpaksa di- laksanakan kerana Jemaah mula mencapai 500 orang. Pada tahun 1980 kerajaan memberi peruntukan membesarkan Masjid tersebut sebanyak RM100,000.00. Dengan peruntukan tersebut ubahsuai masjid tersebut mampu menampung sehingga 1,000 Jemaah.

Kini tiada estate getah, kelapa sawit dan koko kelihatan di pinggir Bandar Kulai ia telah berubah kepada kawasan komersial seperti Kawasan Perindustrian, Perumahan dan komplek perniagaan serta pasaraya.

Majlis Dearah Kecil Kulai juga membesar menjadi Majlis Daerah Kulai dan tidak berapa lama Lagi bertaraf Majlis Perbandaran Kulai. Dahulu orang-orang berjalan kaki dan berbasikal, sekarang jalan darat penuhi lori, kereta, motorsikal dan di udara terdapat kapal terbang berpusat di Lapangaan Terbang Senai. Kulai merupakan pintu masuk utama Malaysia amnya dan Johor khasnya dari sebelah selatan melalui udara.

Oleh itu tidak dapat dinafikan jika pembangunan di Kulai membangun dengan pesatnya dan penduduk bertambah dari masa ke semasa. Pertambahan penduduk yang begitu mendadak menyebabkan AJK Masjid mengambil tindakan segera membuat tambahan ruang untuk Sembahyang dari masa ke semasa.

Penambahan ruang Sembahyang yang terakhir dibuat pada tahun 2002 . Kini masjid ini mampu menampong jemaah seramai 1,300 orang. Penduduk yang tinggal di sekitar masjid semakin meningkat berpunca pembangunan/pembukaan beberapa Taman Perumahan dan sekolah yang baru. Jemaah yang meningkat dari masa ke masa, tiada ruang untuk menampung Jemaah yang hadir untuk bersolat.

Ini berpunca dari susun atur dan penambahan masjid yang tidak terancang dan sukar dirancang kerana lokasi masjid kini agak tenggelam jika di pandang dari beberapa sudut.

Begitulah serba ringkas sejarah awal Masjid Jamek Bandar Kulai sehingga kini untuk menjadi renungan semua pihak tentang perlunya Masjid ini dikekalkan sebagai Masjid contoh berdasarkan aktiviti yang dijalankan dan lokasinya yang strategik serta pembangunan di persekitaran yang pesat membangunan di zaman Globalisasi.

KELAS PENGAJIAN ASAS & PRA TAHFIZ (KASTAH)

KELAS PENGAJIAN ASAS & PRA TAHFIZ (KASTAH)
REMAJA & KANAK-KANAK

ANJURAN:
Biro Takmir Masjid Jame` Bandar Kulai


MASA:
Setiap Hari Isnin – Jumaat
1)Sesi Pagi: 06.30am – 08.00am
2)Sesi Malam: Selepas Solat Maghrib – Isyak

KUMPULAN SASARAN
1)Kanak-kanak: 9 – 12 Tahun
2)Remaja: 13 – 18 Tahun

MATLAMAT
1)Melahirkan Generasi Al Quran dengan asas 4 M :
Mencintai Al Quran,
Memahami Al Quran,
Membaca dan Menulis,
Menghafaz Al Quran
2)Melahirkan bakal Ulama` Muda yang Menguasai Al-Quran.
3)Melahirkan Produk Islam yang seimbang Dunia & Akhirat.
4)Membibitkan cinta pada Al-Quran.
5)Membantu membentuk Syakhsiyyah Mulia.
6)Mendekatkan golongan muda dengan Institusi Masjid & Mengimarahkannya.

OBJEKTIF
1)Melahirkan golongan remaja & kanak-kanak yang berkewibawaan dalam menghafaz al-Quran serta ilmu syariah yang berkaitan.
2)Membudayakan al-Quran dalam kehidupan remaja & kanak-kanak.
3)Membentuk remaja & kanak-kanak yang mewarisi ilmu agama serta nilai-nilai akhlak yang mulia sejak kecil lagi.
4)Melatih dan mendidik remaja & kanak-kanak supaya menjadi generasi yang lebih maju dan berketerampilan dalam bidang yang pelbagai.
5)Melahirkan insan bertaqwa
6)Menanam aqidah dan mengenal Allah melalui Al Quran


MODUL PENGAJIAN

a) PENGAJIAN ASAS TAHFIZ:

1)Pengajian Iqra` Siri 1 – 6 ( Iqra` 1 – 6 )
2)Tahsinul Qiraat Siri 1 – 6 ( 1Siri: 5 Juzuk )
3)Hafazan Juz 30 Siri 1 & 2 ( 1Siri: 15 surah )
4)Hafazan Surah Yasin

b) PENGAJIAN PRA TAHFIZ:

1)Hafazan Tahap 1 Juz 1 & 2
2)Hafazan Tahap 2 Juz 3 & 4
3)Hafazan Tahap 3 Juz 5, 6 & 7
4)Extra Hafazan Surah-surah pilihan..

YURAN PENGAJIAN:

Pendaftaran : RM 20
Pengajian : RM 45 Sebulan

PAKAIAN PELAJAR:

Lelaki : Jubah Putih / Pakaian yg sopan
Perempuan : Baju Kurung, Bertudung. / Pakaian yang sopan dan
menutup aurat yang sesuai dengan keperibadian orang
yang hafaz al-Quran.

MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:

a) Ustaz Redzuan Al Hafiz : 013 6008960
b) Ustaz Norabidin Al Hafiz : 012 6521040
c) Ustaz Abd Halim Al Hafiz : 013 7919758